Thursday, January 27, 2011

komunikasi berkesan...

Manusia adalah makhluk yang dijadikan Allah Subhanahu wataala dengan spesifikasi sosial. Ertinya manusia tidak dapat hidup bersendirian, tanpa manusia lain atau masyarakat. Justeru manusia yang hidup dalam masyarakat pula perlu dipimpin atau diketuai oleh manusia lain dalam menjalankan urusan penghidupan hariannya. Allah Subhanahu wataala telah menetapkan missi hidup manusia di tengah-tengah masyarakat itu untuk mengabdikan diri kepadaNya.
Pengabdian ini dimanifestasikan dengan suruhan beribadah kepadaNya. Ibadah yang diperintah Allah Subhanahu wataala kepada umat manusia perlu difahami dalam konteks yang luas, mencakupi ibadah yang am dan yang khusus. Maka dalam masyarakat umat manusia itu diperintah pula oleh Allah Subhanahu wataala untuk berdakwah atau menyeru ke jalanNya.
Dakwah Islamiah adalah kewajipan yang ditanggung setiap manusia Islam terutamanya yang memegang amanah kepemimpinan. Paksi seruan dakwah ini ialah “amar makruf nahil mungkar”. Inilah sebenarnya komunikasi Islam. 


Konsep komunikasi
Komunikasi secara umumnya merujuk kepada usaha perkongsian maklumat antara satu pihak yang disebut sumber dengan pihak yang lagi satu yang disebut penerima atau sasaran. Maka yang menjadi asas dalam interaksi sesama manusia ini ialah perkongsian makna. Justeru seseorang manusia yang menjadi sumber itu hendaklah berusaha menjadikan mesejnya mudah difahami agar maksud mesej dapat sama-sama ditafsirkan oleh penerima. Sekiranya penerima gagal mentafsir mesej yang diterimanya dari sumber, maka komunikasi tidak berlaku. Malah apa yang berlaku ialah kerosakan berkomunikasi.


Kepemimpinan Insan dalam Islam
Insan sebagai khalifah di atas muka bumi sebenarnya telah dijanjikan akan kegemilangannya. Malah Allah s.w.t. juga telah menjanjikan bahawa insan ini adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikanNya. Walau bagaimanapun, lantaran tergelincir dari landasan iman dan tuntunan agama insan kehilangan kegemilangan. Keciciran insan ini antara lain dapat dilihat dari ketidakupayaan mereka berkomunikasi dengan berkesan sehingga menimbulkan pelabagai macam kerosakan dan masalah dalam menguruskan kehidupan harian terutamanya yang berkaitan kepeimpinan umat. Hakikatnya komunikasi dalam Islam berpaksikan kepada dua iaitu menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Kepemimpinan dari kaca mata Barat lebih kepada kebolehan individu pemimpin mempengaruhi pengikut mencapai objektif yang dihasratkannya tetapi dari kaca mata islam kepemimpinan lebih kepada amanah dan tanggungjawab mensejahterakan pengikut (ra’in). Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah cara merealisasikan kesejahteraan umat. Kelalaian dan kegagalan insan menjalankan kedua-dua tuntutan berkomunikasi ini mengakibatkan kualiti kegemilangan insan itu pudar malah ada ketikanya tenggelam langsung. Contoh teladan baginda Rasulullah s.a.w. menyeimbang dan melaksanakan kedua-duanya menyebabkan umat Arab Quraisy pada zaman lampau muncul dari segala kejahilan menjadi insan yang paling gemilang dalam sejarah peradaban umat manusia. Kesinambungan kegemilangan Islam dapat dilihat dalam zaman pemerintahan atau kepemimpinan khalifah-khalifah selepas baginda sehingga Islam memerintah sebahagian besar muka bumi dan membentuk tamadun yang dikagumi di Timur dan Barat. Namun kegemilangan tamadun Islam semakin pudar dan musnah apabila pemimpin-pemimpin empayar Islam semakin renggang dari perintah Allah Subhanahu wataala dan membelakangkan sunah Rasul. Sejarah banyak mencatatkan hakikat ini sebagai pengajaran khususnya apa yang berlaku di Andalusia dan Turki.

Kegemilangan Insan dan Komunikasi
Telah kita maklumi bahawa telah menjadi sunatullah di dalam hidup ini manusia perlu berhubung dengan Tuhan yang menciptakannya, sesama manusia lain di sekelilingnya dan juga dengan alam sekitaran penghidupannya. Sebagai ad-din atau peradaban hidup yang sempurna, Islam tentunya mempunyai garis panduan yang boleh dijadikan landasan dalam berkomunikasi.
Sepertimana yang disebutkan tadi, komunikasi dalam Islam dilaksanakan dengan tujuan untuk menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain komunikasi Islam berpaksikan usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan atau kemungkaran (amar ma’ruf nahil mungkar). Justeru dari nas-nas Al-Quran dan Hadits Rasul, garispanduan berikut boleh dijadikan panduan dalam berkomunikasi demi menyerlahkan kegemilangan insan seperti mana yang dijanjikan.


1. Rancang idea sebelum berkomunikasi.
Komunikasi yang berkesan samalah seperti aktiviti lain yang dijalankan oleh manusia. Ia memerlukan perancangan yang rapi. Kaedah komunikasi yang terancang dengan baik dan sistematik melambangkan kebijaksanaan pengucap.

Firman Allah Ta’ala dalam Surah An‑Nahl (125) bermaksud …”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik…..”
Hikmah di sini merujuk kepada perancangan yang bijaksana yang memerlukan usaha pemerhatian, pengamatan, penelitian dan perencanaan yang sistematik agar dapat mencerakinkan situasi dan seterusnya membentuk strategi yang tepat.


2. Analisis penerima atau sasaran.
Penerima atau sasaran hendaklah dianalisis agar dapat disesuaikan mesej dengan mereka. Antara perkara‑perkara yang perlu diketahui ialah seperti tahap pengetahuan, tahap pendidikan, sikap, sensitiviti serta mentaliti mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud “berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing”.


3. Isi bicara hendaklah benar.
Kebenaran isi bicara amat mustahak apabila kita berko munikasi, apatah lagi jika berkomunikasi dengan hasrat untuk mengubah golongan sasaran. Keyakinan dan keintiman pendengar terhadap kita akan hancur sekiranya terselit kesangsian tentang kebenaran mesej yang kita bawa.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab ayat 70 bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar”.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “iman seseorang itu tidak lurus kecuali hatinya lurus dan hatinya tidak lurus kecuali lidahnya lurus”.
Kedua-dua dalil ini dengan jelas menyatakan kepada kita bahawa bercakap benar adalah suatu perintah yang utama.


4. Gaya bahasa hendaklah bersesuaian dan baik.
Kata orang bahasa melambangkan bangsa. Sebenarnya Allah menciptakan bahasa dengan penuh keindahan. Hanya manusia yang mencemari keindahan bahasa itu dengan menggunakan perkataan yang kotor lagi keji apabila tidak dapat mengawal lidah dengan fikiran yang waras.


Berkaitan dengan persoalan ini Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran bermaksud:
“dan katakanlah kepada hamba-hamba Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik……..” (Al-Isra:53)

“…dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.” (Al-Baqarah:83)
“…dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik.” (An-Nisaa:8)
Sabda Rasulullah s.a.w. pula bermaksud “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat hendaklah beliau mengatakan yang baik atau diam sahaja”.
Islam juga amat menitikberatkan penggunaan perkataan atau bahasa yang baik ketika berkomunikasi, khususnya dalam keluarga. Individu yang datang dari keluarga yang sopan biasanya menggunakan bahasa yang baik, manakala anak‑anak yang dibesarkan dalam masyarakat atau keluarga yang pincang lazimnya gemar menggunakan perkataan keji dan kotor seperti memaki hamun, mengeluarkan kata-kata lucah dan sebagainya.


5. Nada percakapan hendaklah terkawal dan sesuai.
Ini adalah kerana kelembutan bicara dan kelunakan suara amat berkesan dalam usaha‑usaha memujuk untuk mengubah manusia. Suara yang lunak menikam kalbu dan mampu memadam pertentangan.


Firman Allah Taala bermaksud:
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufuran. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata yang lemah-lembut semoga ia beringat atau takut”. (Ta-Ha:43-44)

“….dan lunakkanlah suara engkau. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara himar (keldai)”. (Luqman:19)
Kadang-kadang bila kemarahan menguasai pemikiran, orang mencari jalan keluar dengan meninggikan suara. Lazimnya orang yang ditengking akan menengking balas. Ini akan memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang. Akhirnya keharmonian hilang. Tetapi kemarahan yang menyinga mampu dipadam dengan kelembutan suara. Malah orang lebih mudah disedarkan dari kesilapan dengan suara yang lunak.


6. Susunan maklumat perlu jelas dan berstruktur.
Mesej yang tersusun dengan jelas mampu memahamkan pendengar dengan mudah dan tidak mengelirukan.

Firman Allah Taala bermaksud: “Dan diwajibkan kepada Rasul hanyalah menyampaikan dengan terang dan nyata.” (An-Nur:54)
Dhirran bin Dhamrah Alkinany pernah memberitahu Muawiyah tentang keperibadian Saidina Ali r.a. . Katanya “ Ketahuilah bahawa Ali r.a. itu ialah orang yang berpandangan jauh, orang yang kuat, bila berkata perkataannya jelas (tepat) dan bila menghukum beliau berlaku adil, ………”
Sebaliknya mesej yang tidak tersusun akan menjadikan penerima keliru dan salah faham.


7. Bahasa badan perlu menyokong lisan.
Penghayatan dan semangat perlu dalam masa berkomunikasi bagi melambangkan keseriusan tujuan. Penghayatan ini terpancar melalui bahasa badan yang kerapkali digunakan untuk menguatkan makna lisan.
Muslim dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan: “Apabila Rasulullah s.a.w. berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya lantang (nyaring) dan semangatnya bangkit, bagai seorang panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang ingin memerangi umat Islam di ketika pagi atau petangnya”.
Hadrat Amrah r.a. pernah bertanya kepada A’ishah r.a. “Apakah yang Rasulullah s.a.w. lakukan apabila berada bersendirian bersama isteri-isteri baginda? A’ishah r.a. memberitahu bahawa seperti juga lelaki lain Rasulullah s.a.w. juga lelaki tetapi baginda adalah orang yang sangat pengasih serta bersifat penyayang dan beliau sentiasa mengukirkan senyuman.”
Senyuman adalah bahasa badan yang memanifestasikan kejernihan hati dan jiwa. Kata-kata yang baik tentunya kosong dan tidak bermakna tanpa senyuman dan kejernihan air muka.


8. Berhujah dengan waras.
Ada kalanya sebagai manusia kita tidak boleh lari dari keperluan berhujah. Maka hujah yang paling baik dan berkualiti ialah hujah yang waras atau rasional, bukan yang penuh emosi.
Allah Taala berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud: “…dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik….”
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “tinggalkan perbantahan kerana perbantahan tidak akan mendatangkan hikmah dan tidak mengamankan daripada fitnah.” (Riwayat At-Tabrani).
Kita berhujah bukan untuk mencari kemenangan tetapi adalah dengan tujuan untuk menyerlahkan kebenaran. Maka sandarkanlah hujah-hujah kita kepada alasan-alasan dan dalil-dalil yang benar lagi menasabah. Dan bersedialah mengaku kesilapan dengan hati terbuka andai terbukti hujah kita tersilap.


9. Ambilkira pendapat orang lain.
Jika perlu dan bersesuaian, sentiasalah bertanya pendapat orang lain yang mungkin lebih berkepakaran dan berpengalaman dalam sesuatu aspek semasa merancang komunikasi.

Dalam hal ini Allah Taala berfirman bermaksud:
“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu….” (Ali-Imran:159)
“…dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka…” (Shura:36).
Kerapkali keputusan yang dibuat secara kolektif sama ada dalam keluarga atau pun dalam organisasi jauh lebih tepat dan berkat berbanding keputusan yang dibuat sendirian.


10. Perbuat apa yang dicakapkan.
Cara menasihat atau mengajar yang terbaik ialah dengan cara memberikan contoh teladan. Perilaku pembicara sendiri harus melambangkan satu idola yang boleh dijadikan model oleh para pendengarnya.

Firman Allah Taala bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (As-Saff: 2-3).
Penerima lazimnya lebih terpengaruh dengan apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Sumber yang berwibawa ialah yang mengatakan sesuatu dengan perbuatan, bukan hanya dengan lisan.


11. Meninggalkan celaan dan mengumpat.
Mengumpat dan mengutuk orang lain akan hanya menjatuh kan kredibiliti sendiri. Komunikasi yang dimuatkan dengan umpat keji tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa. Dalam konteks ini kita lihat firman Allah Taala bermaksud:
“Celakalah (azablah) untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela”. (Al-Humazah:1)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w. pula bermaksud:
“Orang Mukmin itu bukanlah jenis orang yang suka mengutuk.” (Riwayat At-Tarmizi).
“Janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam dan janganlah meneliti cela-cela mereka.” (Riwayat Abu Daud).
‘Tidak masuk syurga orang yang suka membawa fitnah.” (Riwayat Al-Bukhari).
Maka rebutlah peluang berkomunikasi itu dengan menitikberatkan keistimewaan dan kekuatan orang lain, bukan mencari dan membesarkan kesalahan, kelemahan dan keaiban mereka.


12. Menjauhi tanggapan buruk terhadap orang lain.
Sikap suka menilai orang dari pandangan pertama yang berbentuk kulitan harus dijauhi oleh semua orang. Sikap buruk begini akan hanya menimbulkan perasaan negatif yang akan membawa kepada prasangka buruk atau prejudis yang tidak akan menguntungkan sesiapa.
Firman Allah Taala bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka buruk itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain….” (Al-Hujurat: 12).
Prasangka buruk adalah punca kepada segala gejala yang negatif seperti mengumpat, gossip, mencela, sabotaj dan sebagainya yang meruntuhkan sesama umat. Maka padamkanlah prasangka buruk tatkala ia terdetik di dalam hati dengan istighfar.


13. Mendengar dengan berkesan.
Komunikasi tidak hanya tertumpu kepada mulut yang berbicara tetapi juga kepada sepasang telinga yang sentiasa tersedia untuk mendengar dan memahami dengan rasional.

Firman Allah Taala bermaksud “Sesungguhnya yang memperkenankan (seruan engkau) hanya orang-orang yang sebenarnya mendengar. Tetapi orang yang mati (pelita hatinya) nanti Allah akan membangkitkan mereka kemudian mereka dikembalikan kepadaNya”. (Al-Anaam:36)
“Jangan kamu seperti orang-orang yang berkata: kami telah mendengar, tetapi mereka tiada mendengarkan. Sesungguhnya sejahat-jahat yang melata (di muka bumi) di sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan bisu, mereka tiada memikir apa-apa pun”. (Al-Anfaal: 21-22)
“Apabila dibacakan ayat-ayat kami kepadanya, ia berpaling menyombongkan diri, seolah-olah telinganya pekak, sebab itu berilah dia khabar dengan siksa yang pedih”.(Luqman:7)
Mendengar bukan hanya tindakan pukulan gelombang bunyi ke atas gegendang telinga semata-mata. Ianya adalah proses menterjemahkan tindakan fizikal bunyi tadi kepada pemahaman yang membuahkan respons. Hanya orang yang benar-benar mendengar sahaja boleh memahami. Jika tidak, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tidak membuahkan apa-apa hasil.

Wednesday, January 26, 2011

GELAP DALAM LIMPAHAN CAHAYA

cegah ZINA selesai masalah buang bayi

“Bagaimana pandangan awak tentang remaja kita yang terlanjur?”
“Apa maksud terlanjur?” saya menyoalnya kembali.
“Terlanjur melakukan hubungan seks haram,” balasnya terus-terang.
“Bagi saya istilah terlanjur itu tidak tepat.”
“Apa istilah yang lebih tepat?”
“Berzina!” jawab saya pendek.
Lelaki itu kehairanan lalu mencebik seraya berkata, “kasar sangat bunyinya tu. Nanti remaja yang terlanjur takut.”
“Mereka tidak akan takut. Mereka berani. Sebab mereka beranilah mereka berzina.”
“Lagi-lagi awak gunakan istilah zina. Kasar sangat bunyinya tu.”
“Itu istilah yang tepat. Itu istilah Al Quran. Jika digunakan ada impak pada pendengarnya. Kita teringat Allah, Al Quran, iman dan Islam.”
Dia diam. Tetapi riak mukanya jelas seakan tidak bersetuju.
“Saya rasa istilah terlanjur itu yang tidak tepat,” saya pula yang menerjahnya.
“Eh, kenapa? Memang mereka terlanjur. Mereka tidak tahu akibat perbuatan mereka.”
Saya tersenyum. Lucu. Kenyataan yang separa logik.
“Zina tidak berlaku tiba-tiba. Ia didahului oleh mukadimah-mukadimahnya,” balas saya.
“Ai, zina pun ada mukadimahnya?”
“Itulah perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang boleh membawa zina. Zina itu adalah hasil daripada satu proses yang berlaku satu demi satu. Tingkat demi tingkat.”
“Saya tak faham. Cakap awak berbelit-belit!”
“Saya hanya menerangkan apa yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.” jawab saya pendek.
“Kita jangan libatkan agama. Ini masalah sosial,” katanya terus-terang.
“Saya dan awak orang Islam. Islam tu cara hidup. Dan Nabi Muhammad adalah teladan ikutan kita bersama.”
“Baik-baik. Teruskan…”
Zina itu ada mukadimahnya. Antaranya, pandangan mata, lidah yang berkata-kata, sentuhan tangan, deria bau melalui hidung dan akhir sekali barulah melibatkan kemaluan.
“Ok. Apa maksud awak?”
Saya renung matanya. Dia bukan orang awam biasa. Dia seorang intelektual yang sering membentangkan kertas kerja tentang masalah sosial remaja di seminar-seminar di IPT.
“Zina dimulakan dengan pandangan. Pandangan mata sangat mempengaruhi hati. Bila pendedahan aurat berleluasa, remaja sukar menjaga mata. Bila ada yang mendedahkan, ramai pula yang melihatnya dan dari situ timbullah rangsangan…”
“Habis awak nak semua wanita tutup aurat? Mustahil!” balasnya.
“Ya, saya akui agak sukar. Tetapi itu tidak mustahil. Bukankah ini ajaran Islam? Islam itu ajaran yang praktikal dan sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Remaja perempuan tutup aurat. Remaja lelaki tundukkan pandangan. Jadi, satu proses ke arah zina telah diatasi. Ini yang dilakukan oleh generasi sahabat, tabiin dan salafussoleh dahulu.”
“Itu dulu. Langit masih tertutup, sekarang langit sudah terbuka!”
“Bukan masalah langit, terbuka atau tidak. Tetapi yang lebih penting hati kita mesti terbuka untuk menerima panduan Islam kerana kita orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari akhirat.”
“Lagi-lagi akhirat. Sekarang kita bercakap soal dunia. Masalah dunia. Kita di sinilah, bukan di sana.”
Tanpa sedar terasa seakan-akan hendak saya gelengkan kepala. Mujur saya cepat sedar dan hanya mengerling mata.
“Tuan, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia.”
“Fasal apa pula?”
“Sebab orang yang yakin kepada hari Akhirat akan mengatur hidupnya dengan keyakinan bahawa setiap perbuatannya akan diberi pembalasan oleh Allah di akhirat. Ada pahala, ada dosa. Ada syurga, ada neraka. Itulah kawalan dari dalam dirinya untuk tidak melakukan kejahatan sama ada di hadapan atau di belakang orang!”
“Kembali kepada topik asallah. Saya tidak suka meleret-leret,” pintasnya agak kasar.
Zina sentuhan pula ialah pergaulan bebas. Bila dipandang, tergerak untuk disentuh. Islam menyekat pergaulan bebas lelaki wanita. Tidak boleh bergaul sesuka hati apatah lagi sampai ke peringkat berdua-duaan tanpa mahram.”
Belum sempat dia menyampuk saya menambah lagi, “tetapi pergaulan bebas inilah yang terus digalakkan, dipromosikan dan dijadikan budaya dalam masyarakat kita.”
“Awak nak sekat interaksi dan komunikasi antara wanita dan lelaki? Mustahil!”
“Interaksi yang bagaimana? Komunikasi yang bagaimana? Dalam Islam cukup jelas bagaimana wanita dan lelaki boleh berinteraksi. Dalam pendidikan, dalam perniagaan, dalam perundangan dan lain-lain. Pergaulan tidak disekat, tetapi dikawal. Islam bukan anti pergaulan atau interaksi sosial tetapi menyekat pergaulan bebas tanpa batas yang menjurus kepada perlakuan seks bebas kerana adanya pandangan yang liar dan sentuhan yang di luar batas!”
“Bagaimana awak nak capai semua tu. Itu satu utopia.”
“Bukan satu utopia kalau kita bermula. Di peringkat keluarga kita cuba didik, kawal anak-anak kita. Di sekolah peranan guru-guru pula. Di IPT tentulah orang semacam awak, para pensyarah. Dalam media massa cetak dan elektronik tentulah pihak berkuasa yang memainkan peranan.”:
“Habis awak ingat semua pihak dah tak berperanan?”
“Saya bimbang… Dalam keadaan kita menjerit, melolong dan memekik tentang masalah buang bayi tetapi budaya ‘mukadimah’ zina anehnya terus diperagakan dan dipromosikan. Lihat sahaja media massa kita, kekadang di sebelah cerita buang bayi, ada gambar wanita mendedahkan aurat. Iklan apa sahaja produk, budaya bergaul bebas seperti menari bersama, dating dan bergaul bebas itulah yang diiklankan juga.”
“Awak kolot. Itu kan ada nilai komersial?”
“Saya kasihan remaja masa kini. Mereka hidup di tengah peluang untuk melakukan zina yang begitu besar dan luas sekali. Jalan ke arah zina diperluas. Tetapi jalan ke arah pernikahan halal dipersempit dengan pelbagai syarat dan adat yang tidak relevan dan signifikan.”
“Kita perlu realistik. Kita perlukan kekuatan ekonomi yang ampuh dan kukuh.”
“Dan untuk itu kita perlu membayarnya dengan mengorbankan maruah dan iman anak-anak remaja kita?”
“Sejak tadi saya bercakap macam mana kita nak atasi masalah buang bayi. Itu sahaja. Tetapi awak yang melencong bercakap tentang zina…”
“Tuan, masalah buang bayi ini produk kepada masalah zina. Anak yang dibuang itu hasil zina.Cegah zina, selesailah masalah buang bayi. Dan nak cegah zina perlu dicegah dulu mukadimah-mukadimah zina. Ini bukan pendapat saya. Tetapi ini ditegaskan oleh Allah dalam Al Quran apabila Allah memberi amaran dan peringatan, jangan kamu hampiri zina!
“Awak dah mula emosi. Janganlah emosional.”
“Tuan, jika saya salah kerana beremosi. Tuan juga salah kerana tidak beremosi. Sayang, cintakan umat, membenci kemungkaran adalah soal perasaan. Ini soal hati. Ini berkait dengan iman. Tidak ada iman bagi mereka yang melihat kemungkaran tanpa rasa benci!”
“Islam menyuruh kita membenci?”
“Benci kepada kemungkaran bukan kepada yang melakukannya! Pada yang melakukannya kita perlu berdakwah, memberi didikan, memberi alternatif, dengan penuh kasih sayang dan hikmah.”
“Kalau iman kita kuat, apa sahaja yang di luar tidak mempengaruhi dalaman kita. Kita ada sistem penapis dalam atau ‘self censord’. Kita tidak perlu sekatan mahu pun kawalan.”
“Betul kah iman kita kuat? Betul kah iman remaja kita kuat? Dan satu lagi, betulkah orang yang mempunyai iman yang kuat tidak perlukan kawalan dan peraturan? Sekuat-kuat iman pun masih perlukan syariat. Bahkan mematuhi syariat itulah bukti orang beriman.”
“Apa awak cakap ni?”
“Maksud saya, benarkah iman kita kuat? Mana program yang membina iman? Memang ada sedikit, tetapi ditenggelamkan oleh program hedonisme yang berlambak-lambak. Iman itu ada bajanya, ada racunnya. Kalau kita menabur racun manakan tumbuh pohonnya, apatah lagi buahnya? Bahkan benihnya yang sedia ada pun boleh mati.”
“Banyak sangat perlambangan!”
“Dan orang yang kuat iman sekalipun masih diwajibkan mematuhi syariat atau peraturan Islam. Rasulullah s.a.w, manusia yang paling kuat iman, namun semasa menerima bai’ah daripada kaum wanita baginda sendiri tidak bersalaman dengan mereka. Isteri-isteri Rasulullah kuat iman, tetapi mereka tetap menutup aurat dan sangat menjaga pergaulan mereka sekalipun dengan sahabat-sahabat Rasulullah yang juga kuat imannya.”
“Itu sejarah.”
“Bukan. Itu bukan hanya sejarah. Sejarah itu adalah ibrah. Untuk dikaitkan dengan masa kini dan dijadikan teladan. Kita jangan gunakan akal semata-mata, tetapi gunakanlah akal dengan suluhan wahyu dan sunah.”
“Awak sindir saya?”
Tanpa memberi respons pada provokasinya saya meneruskan, “saya masih ingat dengan akal fikiranlah, dulu ada idea yang menyarankan kita agar tidak menutup pintu langit. Jangan sekat akses itu dalam Internet. Cukup dengan iman masing-masing untuk menapis pornografi. Tetapi sekarang ada idea yang menyarankan perlu disekat akses Internet yang berunsur pornografi. Masalah manusia moden bukan tak pandai… tetapi memandai-mandai.”
“Bagaimana pandangan awak tentang sekolah remaja hamil?” tiba-tiba dia pula yang mengalih tajuk perbualan.
“Baguslah. Tetapi saya tidak berminat membuang sampah di hilir atau muara sungai sedangkan ada pihak yang terus membuang sampah di hulunya!”
“Apa maksud awak?”
“Betul, remaja hamil anak zina perlu dilindungi dan dididik. Tetapi remaja yang belum hamil dan belum dinodai lebih ramai lagi di luar sana. Ramai yang bakal menjadi mangsa jika sikap dan budaya ‘mukadimah’ zina terus disuburkan. Apa gunanya kalau kita hanya mengubat akibat, jika puncanya terus dibiarkan malah diperagakan? ”
“Jadi awak setuju atau tidak?”
“Itu soalan kemudian. Yang pertama atau utama, saya ingin menyoal awak. Awak setuju atau tidak semua mukadimah zina yang ada ini dicegah? Dalam Islam kaedah ini dinamakan ‘sazdus zaraik’. Kempen tutup aurat, kempen anti pergaulan bebas dan kempen mengerjakan solat perlu diperhebat! Ini kempen ‘buka hati’ untuk hadapi langit terbuka!”
“Ei, ada kempen solat juga?”
“Ya Allah, bukankah solat mampu mencegah kemungkaran? Cuba lihat statistik berapa ramai remaja yang meninggalkan solat? Ada kajian dulu yang saya dengar sudah di tahap 80% umat Islam sudah tidak solat. Remaja kita bagaimana? ‘Retua’ yang mendidik remaja pula bagaimana?”
“Wah, awak nak cakap tentang solat pula…”
Saya diam. Berdoa. Betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami, menghayati dan mengamalkan serta memperjuangkan agamanya. Padahal ajaran Islam itu berkait antara satu sama lain. Ada kesan berangkai yang jika diamalkan, ada kesan baik kepada bidang yang lain. Dan ada kesan buruk secara berangkai bila salah satu ajarannya ditinggalkan. Justeru, Allah telah memberi peringatan: Masuklah Islam secara keseluruhan!
Soalnya, apakah kita sudah Islam seluruh, sepenuh? Langit sejak dulu telah terbuka dengan turunnya wahyu, bukankah Islam itu agama samawi? Tetapi hati kitalah yang tertutup untuk menerima cahayanya. Apa gunanya langit terbuka, jika mata hati tertutup?
Hasilnya, hati dan diri kita tetap gelap dalam limpahan cahaya!

kepentingan,,jenis2,,bentuk2,,& peranan komunikasi...:)

salam,,,jom bce jap...npe agk nye kte disuroh berkomunikasi ek...??jom2...:)


Kepentingan Komunikasi

Komunikasi adalah satu aktiviti yang dianggap mulia oleh Islam.

Malah Allah menyatakan bahawa seseorang yang menggunakan komunikasinya untuk menyerukan orang lain kepada mengesakan Allah, mematuhi perintah Allah dan ia sendiri melakukan kebaikan, orang tersebut adalah dianggap lebih baik perkataanya ( ahsana qaulan).

Pada aspek lain dalam konteks komunikasi ini merupakan arahan daripada Allah supaya memberi peringatan dan amaran kepada umat manusia. Arahan ini semakin nyata melalui lisan sebagai elemen penting komunikasi yang mana Rasulallah s.a.w menuntut supaya melakukan pencegahan terhadap kemungkaran yang dilihatnya.

Kepentingan komunikasi lisan untuk melakukan perubahan dan tegahan dapat diperhati kepada hadis rasulallah mengkalsifikasikan peranan lisan di tempat kedua selepas tangan yang bermaksud :" Barangsiapa diantara kamu melihat sesuatu kemungkaran yang telah berlaku maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya jika tak berkuasa, maka hendaklah ia mengubah dengan lisan, jika tak berkuasa juga ia mengubah dengan hatinya bagi yang selemah-lemah iman".

Percakapan adalah cara yang menjadi gambaran di dlam hati dan terjemaham dalam bentuk bahasa kepada orang lain untuk menyampaikan hasrat. Komunikasi juga adalah cara untuk menjalankan aktiviti kumpulan. Tanpa komunikasi mustahil kegitan kumpulan dapat dijalankan.

Komunikasi juga digunakan untuk membebaskan atau mengongkong, untuk mencipta atau memusnahkan, untuk memperbaiki mutu kehidupan di dunia ini atau melenyapkannya.
  
Bentuk- Bentuk Komunikasi

     i.        Komunikasi Dengan Pencipta.
-       iaitu ibadah secara khusus. Setiap individu muslim wajib mengadakan hubungan terus dengan Allah sekurang-kurangnya 5 kali sehari melalui sembahyang. Ibadah menjadi komunikasi langsung antara hamba dan Pencipta, ini sangat penting kerana ia akan mencegah daripada melakukan perbuatan-perbuatan buruk dan kemungkaran.

  ii.       Komunikasi Dengan Diri Sendiri.
-       Komunikasi dengan diri berlaku dahulu sebelum komunikasi dengan pihak luar.
-       Unsur komunikasi dengan diri sendiri ialah niat dan berfikir.
-       Faktor niat penting sehingga boleh menentukan sah atau tidak perbuatan seseorang.
-       sabda Rasulallah yg bermaksud : " sesungguhnya setiap perbuatan adalah dengan niat"

 iii.      Komunikasi Dengan Alam Atau Makhluk.
-       Selain dari komunikasi dengan pencipta dan diri sendiri.
-       Komunikasi peringkat ini berlaku sam ada memberi kesah negetif atau positif bergantung kepada sejauh mana ketepatan dan kebenaran proses komunikasi dilakukan pada komunikasi peringkat pertama dan kedua.
-       Islam mengiktiraf dan menerima segala bentuk peralatan komunikasi moden yang beraneka jenis zaman kini yang menjadi elemen perantara asalkan ia tidak mendatangkan kesan negetif kepada keaslian fitrah manusia yang memerlukan keamanan, kebaikan dan lian-lain.
-       Komunikasi peringkrat ini tak terbatas kepada sesama manusia sahaja. Nabi sulaiman boleh berkomunikasi dengan Jin dan binatang.


 Jenis- Jenis Komunikasi

     i.        Lisan
a.    perbualan, pengajaran, khutbah, forum, debat
    ii.        Bertulis
a.    surat, e-mail, faks, sms, buku, majalah
  iii.        Media
a.    elektronik: tv, radio, internet
b.    cetak: surat khabar, majalah

Prinsip Komunikasi Islam

   i.          Bercakap dengan lemah lembut.
·         Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud " Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufuran. Hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut"
  ii.          Menggunakan perkataan yang baik-baik.
·         sebgaimana firman Allah " dan katakanlah kepada hamba-hambaKU ( yang beriman)  supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik,... ".
iii.          Menggunaan hikmah dan nasihat yang baik.
·         Fiman Allah : " Serulah ke jalan Tuhanmu ( wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.
 iv.          Menguasai bahasa dan isi percakapan dengan kecerdasan akal dan pandangan.
·         Rasulallah bersabda " Berbicaralah kepada manusia menurut akal (kecerdasan) mereka masing-masing.
  v.          Berbahas dengan cara yang lebih baik. Prinsip ini bersandarkan
·         firman allah yang bermaksud :" .... dan berbahaslah dengan mereka ( yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik ... "
 vi.          Menyebut perkara penting berulang kali. Prinsip ini bersandarkan kepada amalan Rasulallah s.a.w
·         " Apabila baginda mengucapkan sesuatu kata-kata, baginda mengulanginya 3 kali sehingga kata-kata itu difahami".
vii.          Mengotakan apa yang dikatakan. Prinsip ini bersandarkan
·         firman Allah s.w.t : "wahai ornga-orang yang beriman, mengapa kamu memeperkatakan apa yang kamu tidak melakukannnya".


Peranan Komunikasi Dalam Kehidupan
*      memindahkan maklumat, pendidikan.
*      meyampaikan arahan atau perintah
*      bertanya khabar, bermesyuarat
*      berdakwah

Komunikasi Berkesan
i.        alat penerima maklumat:
a.     telinga
b.     Mata
                                 i.    mata paling berkesan: sebab itu hukuman ke atas penjenayah dijalankan di hadapan orang ramai
c.    kulit

ii.      cara Nabi s.a.w. berkomunikasi:
a.    Suara jelas, tidak perlahan dan tidak terlalu kuat
b.    Tidak cepat
c.    Diulang-ulang tiga kali
d.    Mengetahui latar belakang sasaran
e.    Bahasa yang mudah

iii.      asas-asas komunikasi:
a.    Taqwa
b.    Ukhuwwah
c.    Rahmah
d.    Melebihkan orang lain
e.    Kemaafan

kewartawanan dlm islam...:)

journalist2 2b n bakal2 reporter,,,jom bce kjap...
renung2kan n slamat bramal k...:)
marilah kita mengamalkan sifat-sifat taqwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha-usaha tersebut menjadikan kita sebagai hamba Allah yang benar-benar bersyukur atas segala nikmat pemberianNya.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
Maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".

Media Massa merupakan wahana yang paling berkesan untuk menyampaikan informasi dan maklumat terkini kepada orang ramai. Kemunculan pelbagai bentuk dan saluran media massa masa kini sama ada media cetak atau elektronik membuktikan perkembangan dan kepesatan ilmu dalam sesebuah masyarakat.
Penggunaan internet yang meluas melalui laman blog di samping media masa yang sedia ada seperti akhbar, radio dan televisyen merancakkan lagi penyebaran maklumat dan informasi di kalangan masyarakat. Justeru media masa memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting serta amanah yang sangat berat dalam menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan berfaedah kepada masyarakat. Bukan itu sahaja maklumat yang disebarkan oleh media massa juga perlu mengambil kira tanggungjawab mendidik masyarakat ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
Justeru tidak salah jika kita katakan bahawa kegagalan dan kehancuran sesebuah masyarakat ada kaitannya dengan peranan dan pengaruh media masa dalam  masyarakat tersebut. Media masa yang sedar dan berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan berkesan akan dapat melahirkan masyarakat yang baik dan cemerlang.
Akhir-akhir ini kita dapati sebahagian daripada media masa tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Berita yang disampaikan tidak lagi berdasarkan kepada fakta dan kebenaran. Terdapat berita yang disiarkan bersifat sangkaan, khabar angin dan surat layang yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Malah lebih dahsyat lagi berita yang disampaikan membawa tohmahan dan fitnah yang akhirnya membawa perpecahan dan pertelingkahan dalam masyarakat.
Berita -berita yang mengandungi nilai ilmiah dan akademik kurang mendapat perhatian dan diminati oleh sebahagian pihak media. Berita yang disampaikan tidak lagi dinilai berdasarkan fakta kebenaran tetapi dinilai berdasarkan siapa atau kumpulan mana yang mengeluarkan berita tersebut. Elemen penghinaan, dan pengaiban  menjadi salah satu daripada ramuan mujarab untuk melariskan  berita mereka. Amat menyedihkan lagi terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini begitu mudah mempercayai sesuatu berita seterusnya menyampai dan menyebarkan kepada orang lain tanpa diselidiki dan ditapis terlebih dahulu.

Marilah kita merenung sejenak bagaimana jauhnya kita daripada sunnah nabi dan sunnah para sahabatnya dalam aspek penyampaian dan penerimaan berita ini. Nabi s.a.w telah meletakkan beberapa prinsip dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya :
"Sesiapa yang menyampaikan daripadaku hadith yang kelihatan dusta maka dia merupakan salah seorang pendusta".
Lihatlah bagaimana para sahabat dan tabiin tidak akan menerima sesuatu berita atau hadith melainkan mereka akan bertanya terlebih dahulu siapa yang menyampaikan berita tersebut. Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar bin al-Khattab sendiri akan meminta saksi atau sokongan daripada sahabat lain mengenai kebenaran sesuatu berita yang sampai kepada mereka.

Sikap berhati-hati para sahabat seterusnya tabiin dalam menerima sesuatu berita membawa kepada perkembangan pesat ilmu ini yang kemudiannya dikenali sebagai sistem sanad. Sistem sanad dianggap sebagai identiti utama bagi ulama dan umat Islam malah ia merupakan satu keistimewaan yang hanya ada pada umat nabi Muhammad tidak pada umat-umat lain. Ketelitian para sahabat dan tabiin jelas menunjukkan kepekaan dan keperihatinan mereka yang tinggi terhadap kualiti sesuatu berita.
Malangnya pada hari ini sistem sanad tidak mungkin atau sukar untuk diamalkan lagi. Namun ruh dan semangat sistem sanad yang bertujuan untuk menapis dan mengenalpasti kesahihan sesuatu berita perlu diteruskan. Benarlah pendapat Abdullah bin al-Mubarak yang menyatakan:
Yang bermaksud:
"jikalau tanpa isnad maka berkatalah sesiapa yang ingin berkata apa sahaja yang ingin dikatakan".

Islam meletakkan beberapa prinsip dan kaedah dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Antaranya:
Prinsip Pertama:
Berita yang disampaikan itu hendaklah berdasarkan kepada prinsip kebenaran dengan disokong oleh fakta dan  bukti yang jelas. Cakap -cakap kosong di tepi jalan atau di kedai kopi tidak harus dijadikan asas dalam penyampaian dan penerimaan sesebuah berita. Berita yang disampaikan atas dasar sangkaan, khabar angin ataupun pendustaan dan penipuan mesti ditolak sama sekali. Ini adalah kerana berita-berita sebegini sudah tentu akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.
Rasulullah SAW. bersabda melalui riwayat Ibn Mas'ud sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim
Maksudnya:
"Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga".
Sabda Nabi SAW.:
Maksudnya:
"Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kemaksiatan dan kemaksiatan itu membawa kepada neraka".
Lihatlah bagaimana dalam hadith ini suatu perlakuan yang dianggap kecil dan ringan tetapi membawa kepada implikasi yang besar iaitu syurga atau neraka.
Prinsip Kedua:
Media Massa Hendaklah Mendokong al-Amru bi al-Ma'ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar.
Media masa harus memainkan peranan mereka mendidik masyarakat kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Memang tidak dinafikan terdapat banyak program-program atau slot-slot berbentuk agama, motivasi dan informatif disiarkan atau dipaparkan di media masa pada masa kini yang menyeru kepada kebaikan dan akhlak yang murni.
Namun realitinya program-program yang menyeru kepada kemungkaran, berita-berita yang melalaikan dan gambar-gambar yang mengasyikkan lebih banyak disiarkan berbanding daripada program -program yang disebutkan tadi. Program-program yang melalaikan inilah yang lebih menarik minat para pembaca,  pendengar dan penonton seterusnya memberi pengaruh yang dahsyat dan kesan yang amat buruk dalam kehidupan mereka.




Prinsip Ketiga :


Media Masa hendaklah mendokong perpaduan dan menjauhi perpecahan di kalangan umat Islam.

Islam sentiasa mendokong dan memperjuangkan perpaduan di kalangan umat Islam. Justeru apa sahaja berita yang mendorong kepada perpecahan mesti dielakkan Malah Media masa seharusnya berperanan menjadi orang tengah yang mampu untuk mendamaikan antara kumpulan-kumpulan manusia yang bertelagah. Begitu juga berita-berita berbentuk fitnah, tohmahan, menyebarkan rahsia dan mengadu domba seharusnya dielakkan. Apatah lagi jika berita tersebut mengaibkan, menghina dan memalukan orang Islam lain.
Penghinaan bukan tertentu kepada orang yang hidup sahaja malah Islam juga melarang penghinaan kepada orang yang telah mati.

Rasulullah s.a.w bersabda melalui riwayat Aishah sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari
Maksudnya:
"Janganlah kamu menghina orang yang telah mati kerana apa yang mereka telah lakukan merupakan perlakuan semasa di dunia".
Penghinaan juga bukan sahaja dengan perbuatan tetapi juga dengan perkataan, tulisan dan gambar-gambar yang dilukis. Lukisan-lukisan kartun yang menghina tubuh badan fizikal seseorang juga dianggap sebagai penghinaan. Kadangkala kita lihat keburukan seseorang yang disebarkan dan dizahirkan dengan begitu mudah tanpa menghiraukan kebaikan yang pernah dilakukan.
Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11:
Maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-olokkan. Dan jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita -wanita lain kerana boleh jadi wanita yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari wanita yang mengolok-olokkan dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk.seburu-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

Kita sebagai pengguna, pembaca, pendengar dan penonton hendaklah mengambil sikap berhati-hati dan teliti dalam menerima sesuatu berita yang sampai kepada kita. Bagi media massa  kepentingan masyarakat umum perlu didahulukan.
Sebarkanlah perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat, perkuatkan agama dan perkukuhkan keimanan mereka dan jauhilah dari menyebarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan iman dan akidah mereka. Akhirnya marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan sunnah nabi dalam seluruh kehidupan kita.
Maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah An-Nur ayat 19)

Media massa hendaklah berperanan menyebarkan kebenaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat. Media massa tidak wajar menambahkan kekeliruan dan kecelaruan pemikiran umat.
Maklumat yang tidak benar boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain
Khalayak media massa dan semua yang terlibat bertanggungjawab perlu mematuhi adab dab etika penyiaran Islam